Thursday, February 13, 2014

CERAMAH PERDANA BERSAMA PENCETUS UMMAH USTAZ SHAHUL HAMID

PROGRAM TERBARU DI MASJID SAIDINA ABU BAKAR AS SIDDIQ, BANGSAR, KL
JEMPUT HADIR BERAMAI-RAMAI DAN SEBARKAN PROGRAM DAKWAH INI KEPADA RAKAN-RAKAN DAN TAULAN. MOGA KITA DIREDHAI ALLAH.

Friday, February 7, 2014

PERWIBA DALAM BERITA HARIAN (07 FEBRUARI 2014) JUMAAT.

Urus jenazah pengukuh ukhuwah


Foto
MBSABA anjur pertandingan pastikan kariah wanita kuasai ilmu fardu kifayah

Mempelajari ilmu menyempurnakan jenazah hukumnya fardu kifayah, iaitu wajib ke atas semua umat Islam mempelajarinya. 

Jika ada seorang dalam sesebuah kariah itu boleh melakukannya, maka gugurlah tanggungjawab itu ke atas mereka. Kegagalan menunaikan kewajipan itu pula, menyebabkan seluruh kariah di sesuatu tempatberkenaan menanggung dosa. 
Adat hidup bermasyarakat, setiap individu memerlukan antara satu sama lain. Menjadi tanggungjawab semua pihak mengambil tahu hal susah senang saudara mereka. Keadaan lebih memerlukan apabila individu ditimpa ujian atau musibah." Hab ibah Yahaya, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita MSABA

Menyedari hak yang perlu dilaksanakan, pelbagai program disediakan bagi membolehkan umat Islam mempelajari ilmu dan kemahiran yang sangat dituntut untuk diwarisi generasi akan datang menguruskan jenazah. 

Sempena sambutan Maulidur Rasul anjuran kariah Masjid Abu Bakar As-Siddiq (MSABA), Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini, kariah wanitanya memanfaatkan hari yang penuh keberkatan itu dengan menganjurkan pertandingan mengkafankan jenazah.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita MSABA, Datin Habibah Yahaya, berkata pertandingan bukan bertujuan mempamerkan ilmu atau kemahiran semata-mata, malah niatnya jelas untuk melahirkan generasi yang benar-benar berilmu dalam melaksanakan sesuatu ibadat.

Program ini untuk membolehkan kariah wanita lebih bersedia apabila diminta membantu menguruskan jenazah sebagai menunaikan fardu kifayah di tempat masing-masing. 
“Walaupun sudah banyak kemudahan menguruskan jenazah sama ada di hospital mahupun masjid berhampiran disediakan, namun perlu ada golongan pelapis untuk mempelajari ilmu dan kemahiran untuk diturunkan kepada generasi akan datang.

“Mempelajari sesuatu ilmu itu begitu digalakkan. Selain menambah pengetahuan, kecekapan dan penyertaan mereka juga meningkatkan ukhuwah dalam kalangan kariah,” katanya yang gembira dengan kerjasama peserta daripada tujuh jemaah surau berhampiran.

Habibah berkata, aktiviti itu turut memberi perhatian khusus kepada semangat kerjasama dalam kumpulan selain menjayakannya dengan penuh adab dan tertib. 

Kongsi masalah saudara

“Adat hidup bermasyarakat, setiap individu memerlukan antara satu sama lain. Menjadi tanggungjawab semua pihak mengambil tahu hal susah senang saudara mereka.

“Keadaan lebih memerlukan apabila individu ditimpa ujian atau musibah,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenan, baru-baru ini.

Setiap kumpulan, kata Habibah, diberikan satu set peralatan mengkafankan jenazah. Empat peserta dalam setiap kumpulan.

Mereka dikehendaki berlakon sebagai jenazah untuk disempurnakan. Apabila selesai set berkenaan, peserta membawanya pulang ke surau masing-masing untuk digunakan apabila diperlukan.

Walaupun setiap langkah dilakukan dalam suasana bertanding, namun masing-masing diminta menjaga adab dan tata tertib seperti menguruskan jenazah sebenar.

“Sepanjang pemerhatian, saya dapati, ahli kumpulan adalah dalam kalangan mereka yang sudah berpengalaman dan pernah menyertai pelbagai kursus berkaitan secara rasmi.

“Ada juga yang masih belajar. Mereka mengambil kesempatan daripada program ini untuk meningkatkan kemahiran dan menguasai ilmu dengan niat, apa yang dikurniakan Allah SWT itu dimanfaatkan semua pihak,” katanya.

Tingkat kemahiran

Seorang peserta Jamakyah Hashim, 48, berkata beliau gembira kerana berpeluang mengikuti aktiviti sedemikian dan banyak ilmu baru dipelajari.

Kariah Surau Keretapi Tanah Melayu Lengkok Abdullah, Bangsar berkata, jika sebelum ini beliau hanya melihat orang menguruskan jenazah, tetapi kini dengan keupayaan berserta ilmu yang dipelajari di masjid, dia sedia membantu apabila diperlukan.

“Memandangkan anak sudah besar, masa terluang dapat dimanfaatkan dengan menyertai aktiviti sedemikian, selain mengikuti aktiviti sampingan termasuk mengikuti kelas bimbingan Fardu Ain,” katanya.

Surau Madrasah Tarbiah Islamiah, Apartment Putra Ria, Salasiah Ismail, 58, merelakan diri menjadi jenazah untuk disempurnakan rakannya, berkata walaupun agak gementar, namun beranggapan ini sebagai persiapan menghadap Ilahi kelak.

Beliau yang sudah banyak kali mengikuti kursus menguruskan jenazah hingga ke Masjid Negara, di Kuala Lumpur, adalah antara orang bertanggungjawab menyempurnakan jenazah wanita di tempatnya.

Pengalaman dan iktibar

“Sepanjang tempoh itu banyak pengalaman, iktibar dan pengajaran diperoleh. Niat perlu ikhlas untuk membantu. Jaga aib si mati adalah antara perkara utama perlu diberi perhatian oleh pengendali jenazah.

“Setiap pengendali berhadapan pelbagai pengalaman dan dugaan. Semua itu hanya untuk diri sendiri, tidak wajar dikongsi dengan orang lain,” katanya.

Pengisian program Maulidur Rasul erat silaturahim 

Pelbagai aktiviti sempena Maulidur Rasul sewajarnya disusun dengan lebih menarik dan penuh dengan pengisian untuk memastikan seluruh umat mendapat kebaikan dan keberkatan. 

Pengerusi MSABA, Datuk Nik Farid Mohd Kamil, berkata program Maulidur Rasul bertujuan memperingati hari kelahiran junjungan besar Rasulullah SAW, selain mengeratkan silaturahim dalam kalangan penduduk.

“Kami melihat program sebegini dapat dimanfaatkan secara menyeluruh termasuk mengumpulkan kariah dari surau berhampiran. Pengisian program separuh hari itu meningkatkan kerjasama dalam kalangan hadirin selain mewujudkan semangat perpaduan.

“Penganjur menggabungkan aktiviti berbentuk pembangunan rohani dan jasmani, bertujuan melahirkan insan cemerlang, cergas dan berakhlak mulia,” katanya.

Syarahan agama

Majlis kemuncak disempurnakan dengan sesi ceramah bertajuk “Wasatiah Tonggak Kesatuan Ummah” oleh pendakwah Habib Ali Zainal Abidin al-Hamid.

Selain kariah MSABA, Nik Farid berkata, kehadiran jemaah dari surau kawasan berhampiran begitu dihargai. Kehadiran mereka sekeluarga mencerminkan kesungguhan untuk bersama-sama meraikan hari kelahiran nabi Muhammad SAW. 

Kesungguhan dan semangat semua pihak menjayakan program itu jelas terpancar apabila kaum ibu bersama anak kecil tidak terkecuali menyertai perarakan sambil berselawat.

Pengisian lain dalam program termasuk pertandingan mewarna, melaungkan azan, pertandingan nasyid, qasidah dan seni tulisan khat.

Fakta: Persiapan menguruskan jenazah wanita
* Ukur panjang mayat dengan tali dan berikan kepada penggali kubur.
* Kain putih panjang 18-21 meter dan lebar 45 atau 60 inci.
* Kapas 2 gulung.
* Air mawar 1 botol.
* Cendana 2 buku.
* Kapur barus
* Minyak Atar sebotol (tanpa alkohol).
* Piring/dulang/gunting

Persediaan memandikan jenazah
* Tiga bekas air seperti baldi atau besen yang boleh memuatkan 2 atau 3 gelen air.
Bekas pertama diisi dengan air mutlak. Bekas kedua diisi dengan air bidara atau air inai. Bekas ketiga diisi dengan air kapur barus.
* Sediakan sarung tangan 2 atau 3 helai dan juga kain sugi untuk penggosok pada badan mayat serta gigi dan kuku.
* Sediakan kain untuk menutup mayat semasa mandi berukuran sekadar menutup aurat mayat, seelok-eloknya berwarna gelap atau kain batik lepas.
* Sehelai tikar.
* Tanah debu untuk tayamum bagi mayat kanak-kanak yang belum berkhatan atau orang dewasa dan untuk mayat yang uzur.
* Sabun. 
* Kain sugi.
* Sarung tangan.
* Kain telekung (bagi perempuan) 
* Daun bidara atau daun inai.

Persiapan kain kapan
* Potongkan kain putih sepanjang mayat dan lebihkan 1 kaki 6 inci di kedua-dua hujung kepala dan kaki.
* Kain putih yang wajib hanya selapis sahaja. Lima lapis bagi mayat perempuan. 
* Sediakan kain telekung tidak berjahit.
* Koyakkan di tepi kain selebar 14 inci untuk digunakan sebagai tali pengikat sebanyak 5 utas tali. Kain kafan dibentangkan sehelai demi sehelai. 
* Taburkan di atasnya serbuk pewangi seperti debu kayu gaharu atau kapur barus dan dialas di atas kain kafan. Di atas sekali dengan kapas. Renjis air mawar di atasnya.

ARTIKEL ASAL DI : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Urusjenazahpengukuhukhuwah/Article