Photobucket

Tuesday, October 20, 2009

JAMUAN AIDILFTIRI PUSAT ZON 6 : MASJID BANGSAR MENANG GERAI TERBAIK.



Antara 'orang kuat' yang mewakili Masjid Bangsar dan berjaya menobatkan gerai MSABA sebagai gerai terbaik.

Damansara, 17 Okt - Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq, Bangsar, telah dijemput untuk bekerjasama dalam Majlis Jamuan Aidilfitri Masjid-Masjid di Zon 6, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, (JAWI). Majlis diadakan di perkarangan Masjid Saidina Umar Al Khattab, Bukit Damansara, yang juga di sana diwujudkan Pejabat Pengurusan Pentadbiran Pusat Zon 6. Sebanyak 9 buah masjid yang dijemput untuk menyertai Majlis Jamuan Aidilfitri ini dan setiap masjid diwajibkan untuk menyediakan sekurang-kurangnya satu juadah untuk menjadi santapan kepada anak-anak kariah di masjid masing-masing yang juga turut dijemput. Pelbagai juadah yang menyelerakan disediakan antaranya, laksa, kambing panggang, nasi beriani, kuih-muih dan banyak lagi. Manakala Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq pula diminta untuk menyediakan Nasi Dagang dan ABC.


Majlis yang dirasmikan oleh Ustaz Che Mat Bin Che Deraman, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Kariah, JAWI itu berlangsung dengan meriah serta menjadikan tautan ukhwah semakin rapat antara anak-anak kariah 9 buah masjid dalam Pusat Zon 6. Antara masjid yang terlibat ialah Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq, Masjid Ikhlasiah, Masjid Khadijiah, Masjid Ar Rahman, Masjid At Taqwa, Masjid Al Ghufran, Masjid Jameik Sultan Azlan Shah, Masjid Hidayah dan Masjid Saidina Umar Al Khattab selaku tuan rumah. Majlis tersebut juga menganjurkan pertandingan gerai terbaik serta tercantik dan Alhamdulillah, kemenangan tersebut berpihak kepada Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq yang merangkul tempat pertama.

" Majlis seumpama ini wajar diteruskan lagi untuk tahun-tahun hadapan kerana ia dapat mengeratkan silaturrahim antara anak-anak kariah masjid-masjid di Zon 6 ini. Akak pun dah dapat ramai kawan-kawan baru," ujar Puan Rohaya, salah seorang kakitangan MSABA ketika ditemui. Majlis yang bermula pada pukul 10 pagi itu berakhir pada pukul 1 tengahari.

Thursday, October 15, 2009

LAFAZ RUJUK SAH JIKA KELUAR DARIPADA MULUT SUAMI SECARA IKHLAS.


Soalan: Sebulan lalu saya bercerai dengan isteri dengan talak satu untuk kali pertama. Isteri tidak rela dengan perpisahan berlaku dan menyuruh saya merujuknya semula. Isteri juga melafazkan rujuk ke atas saya yang berbunyi "Saya rujuk semula dengan awak". Saya hanya mengangguk tanda setuju walaupun hati saya sebenarnya masih berbelah bahagi. Saya jadi keliru adakah sah rujuk yang dibuat isteri saya itu atau adakah sah rujuk yang saya buat walaupun dalam keadaan dipaksa. Mamat, Kuala Lumpur.

Jawapan: Rujuk adalah penerusan kepada perkahwinan sedia ada yang dibuat suami menggunakan lafaz tertentu tanpa perlu kepada akad dan mas kahwin yang baru. Di dalam Islam, Allah meletakkan hak rujuk di tangan suami apabila berlaku perceraian talak rajie selagi isteri masih dalam edah. Allah Taala berfirman di dalam surah al-Baqarah, ayat 228: "Dan suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk) isteri pada masa edah mereka jika (suami) bertujuan hendak berdamai".

Saidina Umar R.A meriwayatkan, "Rasulullah SAW menceraikan Hafsah, kemudian Baginda kembali rujuk kepadanya". Menurut jumhur ulama, terdapat tiga rukun utama rujuk iaitu suami, isteri dan sighah (lafaz).


Rukun pertama, suami hendaklah seorang baligh (cukup umur) . Tidak sah rujuk bagi suami belum baligh. Suami hendaklah seorang berakal dan tidak sah rujuk sekiranya suami dalam keadaan gila. Suami merujuk isteri hendaklah dengan sukarela. Tidak sah rujuk jika suami dipaksa dan ketika rujuk suami hendaklah kekal Islam.

Rukun kedua, isteri hendaklah disetubuhi sebelum berlaku perceraian. Tidak boleh merujuk isteri yang diceraikan sebelum disetubuhi kerana isteri seperti itu tidak mempunyai edah. Isteri yang dirujuk itu mesti ditentukan secara khusus.

Jika suami menceraikan beberapa isterinya kemudian ia rujuk salah seorang daripada mereka dengan tidak ditentukan siapa yang dirujuknya, maka rujuk itu tidak sah. Isteri diceraikan dengan talak rajie. Jika ditalak dengan talak bain, maka tidak sah rujuk. Rujuk juga hanya boleh berlaku ketika isteri dalam tempoh edah. Tidak sah rujuk selepas terbukti tamatnya edah isteri atau isteri berkenaan murtad ketika dirujuk.

Rukun ketiga, sighah (lafaz) hendaklah menggunakan perkataan yang menunjukkan dituju kepada isteri seperti 'engkau' atau 'nama isteri itu' atau dengan isyarat tunjuk kepada isteri. Sighah pula tidak boleh digantungkan (ditaklik) dengan sesuatu. Contohnya suami berkata: "Saya rujuk awak jika awak suka." Atau: " Saya kembali kepada awak jika awak berhenti kerja."


Kewujudan saksi hanya disunatkan. Isteri yang diceraikan tidak boleh merujuk suami yang menceraikannya walaupun isteri masih suka kepada suaminya. Rujuk yang dilafazkan oleh suami dengan memenuhi semua rukun dan syaratnya adalah sah walaupun rujuk dibuat itu dalam keadaan bergurau.

Ini berdasarkan hadis Rasulullah yang menyatakan bahawa tiga perkara yang tidak boleh dibuat main-main termasuk nikah, cerai dan rujuk. Apabila dilafazkan dengan jelas, maka ia akan menjadi sah.


Seksyen 51(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 (AUKI) memperuntukkan bahawa suami hanya boleh rujuk sekiranya berlaku talak rajie dengan satu atau dua talak yang tidak diikuti dengan habis tamat edah. Oleh itu suami tidak boleh rujuk jika sekiranya tempoh edah bagi talak rajie itu tamat. Dalam Seksyen 51(9) AUKI jika sekiranya suami melafazkan rujuk tapi isteri tidak bersetuju dengan sebab dan alasan yang dibenarkan hukum syarak, seperti suami menderanya dan jika kembali boleh membahayakan diri isteri, maka mahkamah boleh memerintahkan satu jawatankuasa dilantik.


Jawatankuasa ini akan diberi masa enam bulan untuk menilai sama ada wajar mereka kembali sebagai suami isteri atau sebaliknya. Seorang suami dilarang merujuk dengan maksud jahat seperti bertujuan untuk menyakiti atau menganiaya isteri yang hendak dirujuk.


Ini berdasarkan Surah al-Baqarah ayat 231: "Dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula) dengan maksud memberi mudarat kerana kamu hendak melakukan kezaliman terhadap mereka. Sesiapa yang melakukan demikian, maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri. Janganlah kamu menjadikan ayat hukum itu sebagai ejekan dan permainan".


Dari segi hukum rujuk, wajar diperhatikan bahawa hukum asal bagi rujuk adalah harus tanpa dikaitkan dengan perkara lain. Adalah makruh hukumnya bagi rujuk jika perceraian itu adalah lebih baik kepada kedua-dua pasangan suami dan isteri. Sunat rujuk sekiranya suami bertujuan memperbaiki rumah tangga dan masih menyayangi dan ingin memperbaiki keadaan isterinya. Manakala hukumnya adalah haram jika suami rujuk dengan tujuan membalas dendam atau menzalimi isteri.

Merujuk kepada kes saudara, saudara mempunyai hak untuk merujuk isteri saudara tapi hendaklah dengan tujuan baik. Kuasa rujuk di tangan saudara sebagai suami tidak kira atas kemahuan isteri mahupun kemahuan saudara walaupun isteri tidak bersetuju dengannya. Bagaimanapun, rujuk yang dibuat oleh isteri adalah tidak sah. Rujuk juga perlu dilafazkan oleh suami menggunakan lafaz yang jelas menunjukkan berlaku rujuk.


Jawapan disediakan Exco Penerbitan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) >Yusmawati Abllah

Wednesday, October 14, 2009

FENOMENA SEJARAH BERDIRI

FENOMENA sejadah berdiri tiba-tiba menjadi kisah yang paling banyak diperkatakan kebelakangan ini. Ia seolah-olah cuba menunjukkan sesuatu yang tersirat apatah lagi kebanyakan masyarakat di negara ini sangat berminat dengan kisah yang mempunyai unsur mistik sebegini.

Mengikut laporan terbaru mengenai kejadian ini seperti yang disiarkan pada 2 Oktober lepas, sepasang suami isteri terkejut apabila sejadah di bilik sembahyang mereka tiba-tiba berdiri tegak menyerupai orang sedang solat.

Dalam kejadian yang berlaku di Taman Haji Mohd. Amin Bukit Mertajam pada pukul 9.45 malam, Mohamad Shuhaimi Md. Ilias, 26, dan isterinya, Zainab Ramli, 26, berselisih pendapat mengenai kedudukan sebenar kiblat rumah mereka sebelum pergi ke ruang tamu untuk memandikan anak perempuannya manakala isterinya pula pergi menggosok pakaian.

Tidak lama kemudian, Zainab tiba-tiba meluru kepada suaminya dalam keadaan muka pucat dan terkejut dan memberitahu sejadah yang dihamparkan tadi sudah tegak seperti orang sedang solat antara dua sujud.


Suaminya kemudian menghubungi keluarga dan jiran terdekat yang kemudian datang dengan kompas untuk membuat ukuran dan ternyata kedudukan sejadah itu tepat menghala ke arah kiblat.

Lebih mengejutkan berita mengenai kejadian itu tersebar begitu cepat sehingga ada orang awam dari merata tempat termasuk Kuala Lumpur yang sanggup datang untuk menyaksikannya.

Namun perkara ini berakhir setelah dua pegawai daripada Jabatan Agama Islam negeri menasihat agar sejadah itu dilipat bagi mengelak daripada berlaku perkara khurafat yang boleh menyesatkan akidah umat Islam.

Bagi pasangan suami isteri ini mereka percaya ada hikmah di sebalik kejadian itu dan menganggapnya sebagai tanda kekuasaan Allah SWT.

Peristiwa sama turut dialami oleh seorang wanita yang singgah di Taman Tamadun Islam Kuala Terengganu untuk menunaikan solat di Masjid Kristal namun terkejut apabila melihat dua helai sejadah tiba-tiba bercantum sebelum 'bangkit berdiri' di sisinya pada awal Julai lepas.

Pada awalnya kakitangan kerajaan berasal dari Dungun yang tidak mahu dikenali itu menyangka objek tersebut hanya bayang jemaah lain yang mendirikan solat di sebelah kirinya.

Namun setelah selesai solat, wanita itu terkejut apabila melihat dua helai sejadah bercantum dalam keadaan menegak seolah-olah berdiri. Menurutnya, pengalaman pelik itu amat luar biasa dan bersyukur kerana 'terpilih' menyaksikannya.

Seorang petugas di Masjid Kristal menjelaskan, kejadian tersebut mungkin ada kaitan dengan jin Islam kerana sebelum ini seorang wanita mengadu mengenai kejadian yang hampir sama.

Pada bulan September lalu kejadian sama berlaku di Kampung Tok Sangkut, Repek Pasir Mas serta di Meru pada Februari 2008. Sebelum itu pernah disiarkan dalam You tube kejadian yang sama terjadi di Muscat, Oman. Itu merupakan antara beberapa kejadian yang berlaku berkaitan dengan fenomena sejadah berdiri.

Rata-rata berpandangan kejadian sejadah berdiri ini yang tidak mampu dihuraikan oleh akal adalah tanda dan petunjuk kebesaran Tuhan. Allah boleh melakukan apa sahaja. Segala kejadian alam, langit dan bumi, siang dan malam adalah antara tanda-tanda kebesaran Tuhan.

Ada pula yang berpandangan kejadian pelik sebegini adalah cara Tuhan memperli atau berlaku sinis kepada manusia. Jika dengan ilmu, kefahaman dan pimpinan guru pun manusia tidak mahu sembahyang, maka kita didedahkan dengan kejadian sejadah yang tidak bernyawa sedang sembahyang.

Saintifik

Pengarah Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr. Mohd Yusuf Othman menyifatkan kejadian ini mungkin ada hikmah yang yang cuba ditunjukkan oleh Allah SWT kepada umat manusia.

Beliau yang merupakan seorang ahli fizik berkata kejadian sebegini adalah sukar untuk dijelaskan secara saintifik kerana pergerakan yang berlaku perlu diperjelaskan secara terperinci.
Namun umat Islam perlu melihat perkara ini sebagai kekuasaan Tuhan tetapi tidaklah sehingga berlebihan sehingga boleh mengakibatkan syirik dan khurafat.

Menurut beliau secara umumnya sejadah yang berdiri seperti ini memerlukan tenaga atau "daya" untuk bergerak. Daya ini akan diperoleh melalui tujuh cara iaitu sama ada melalui proses elektrik, mekanik, sinaran, haba, magnet, nuklear atau kimia.

"Mungkin selepas ini ada ahli saintis yang mahu menjalankan kajian tentang kejadian ini dan saya mengalu-alukan pandangan mereka,". katanya

Mohd Yusuf berkata, secara fitrahnya alam ini ada tabiinya yang tersendiri seperti pokok memerlukan air untuk hidup atau air dicincang tidak akan putus. Kemudian manusia akan mula bertanya kenapa kejadian itu berlaku dan dari situ ilmu sains mula berkembang.

Namun hakikatnya menurut beliau ilmu sains merupakan ilmu yang terbatas dan bukan ilmu yang mutlak maka beliau berpandangan kejadian sejadah berdiri bukanlah antara perkara yang boleh diterangkan secara saintifik.

Katanya, tugas ahli sains ialah memahami tabiat alam namun malangnya pemikiran saintifik kini terlalu mendominasi manusia sehingga kita semakin meminggirkan agama. Namun ilmu sains adalah tetap merupakan satu keperluan dan perlu dikuasai oleh umat Islam tetapi biarlah diseimbangkan dengan ilmu agama.

Dalam pada itu menurut Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa ( UIA), Profesor Datuk Dr. Mahmood Zuhdi, beliau tidak yakin kejadian sejadah berdiri ini benar-benar berlaku.

Menurut beliau kita seringkali dihidangkan dengan cerita-cerita mistik dan luar biasa seperti api yang tiba-tiba menyala dan membakar, mutiara atau kaca yang keluar dari mata dan sebagainya dan sesungguhnya apakah perkara ini benar-benar perlu untuk didedahkan kepada umum.

Katanya semua pihak belum pasti apakah kejadian ini melibatkan sesuatu petunjuk dari tuhan.

"Apakah benar kejadian sejadah berdiri ini berlaku atau mungkinkah ia sengaja dilakukan oleh manusia dan kemudian disensasikan oleh pihak tertentu untuk menarik perhatian ramai.

"Saya melihat perkara ini lebih kepada sengaja dibuat-buat dan kemudian dibesar-besarkan," katanya.

Menurut Mahmood, beliau bukan menolak kekuasaan tuhan tetapi perkara sebegini tidak memberi apa-apa erti kepada kehidupan manusia. Manusia pula secara umumnya sangat meminati kisah-kisah sensasi sebegini, kemudian akan mula mempercayainya dan akhirnya mereka mula terlibat dalam kegiatan syirik dan khurafat.

"Jika kita lihat mereka yang percaya dengan bomoh pada awalnya melihat perkara-perkara yang ajaib seperti ini dan kemudian akan lebih mempercayainya sehingga terlibat dalam perlakuan syirik dan sebagainya,".

Sesungguhnya pelbagai penjelasan dan pandangan tentang kejadian ini adalah sesuatu yang biasa dan perbezaan pendapat sememangnya sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Memandangkan manusia adalah makhluk ciptaan tuhan yang paling sempurna mereka pastinya akan cuba mencari jawapan yang dirasakan paling sesuai untuk mengisi kehendak dan perasaan ingin tahu mereka.

Namun yang pasti bukan semua perkara boleh dijawab hanya dengan berlandaskan akal fikiran dan kaedah saintifik yang terbatas sifatnya. Apatah lagi sifat ingin tahu manusia itu juga yang akan mengheret mereka sehingga terjebak dalam kepercayaan syirik dan khurafat. Oleh itu adalah sesungguhnya hanya Allah jua yang mempunyai jawapan terhadap segala persoalan dan kemusykilan tentang segala kejadian yang berlaku di alam yang mana tuhan juga yang menjadi penciptanya.
Dipetik daripada www.utusan.com.my. Tulisan Hafizahril Hamid.

Monday, October 12, 2009

JAMUAN AIDILFITRI MASJID BANGSAR : MERIAH DALAM BARAKAH.

Bangsar, 08 Okt - Meriah dalam barakah, itulah yang boleh digambarkan dalam Majlis Jamuan Aidilftiri Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq yang berlangsung dengan penuh kemeriahan. Majlis bermula dengan solat Maghrib berjemaah serta disusuli dengan bacaan Yaasin dan Tahlil. Majlis juga diserikan dengan ucapan daripada Pengerusi Masjid, Dato' Hj Nik Farid Bin Mohd Kamil. Dalam ucapan tersebut, Dato' Pengerusi mengucapkan berbanyak terima kasih kepada tetamu yang hadir terutama para jemaah yang banyak menyumbang kepada pembangunan Masjid Bangsar.


Kelihatan Dato' Pengerusi melayan tetamu.

Seterusnya majlis diteruskan dengan solat Isyak berjemaah kemudian disusuli dengan jamuan. Ketua Imam Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq ketika ditemui berkata,


" Pihak masjid amat gembira dengan kedatangan jemaah yang ramai dalam Majlis Silaturrahim Aidilfitri pada malam ini. Semoga majlis ini akan menjadikan hati kita lebih rapat dengan masjid terutamanya kedatangan dalam majlis ilmu,".

Dianggarkan lebih 500 jemaah yang hadir memeriahkan majlis dan majlis berakhir pada pukul 10 malam.

Thursday, October 8, 2009

JAKIM Ziarah Masjid Bangsar.

Dr Mohd Aderi dari UKM khusyuk menjalankan proses kajian.

Rombongan di bawa melawat sekitar masjid.
Dato' Pengerusi memuliakan tetamu.

Bangsar, 08 okt 2009 : Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq, Bangsar telah dikunjungi oleh rombongan dari JAKIM yang bertujuan untuk menjalankan KAJIAN RINTIS STANDARD PENARAFAN MASJID MALAYSIA. Pihak JAKIM yang diwakili oleh En Azhar Bin Tuarno yang juga merupakan salah seorang Imam Masjid Negara dan seorang kakitangannya, juga turut serta ialah Dr Mohd Aderi Bin Che Noh, Pensyarah Kanan, Jabatan Perkaedahan Dan Amalan Pendidikan, Fakulti Pendidikan UKM.

Rombongan bersedia untuk menjamu selera.

Pihak masjid pula diwakili oleh Pengerusi Masjid, Dato' Hj Nik Farid Bin Mohd Kamil, Ustaz Hazman Hashim (Ketua Pentadbir / Imam) dan Ustaz Khairuddin (Pentadbir). Turut serta ialah Ustaz Hazaruddin Bin Baharuddin (Penyelaras Zon 6) yang mewakili pihak JAWI.

Pihak masjid mengalu-alukan kedatangan rombongan dan amat berbesar hati kerana pihak JAKIM sudi untuk memilih masjid ini untuk dijadikan model dalam kajian rintis yang dijalankan. Akhir kajian, pihak rombongan di bawa melawat sekitar Masjid Saidina Abu Bakar As - Siddiq seperti dewan solat, dewan kuliah, dewan makan dan kawasan sekitar masjid. Program diakhiri dengan makan tengahari.

12 Ciri Pemimpin Yang Berwibawa Mengikut Al Farabi.


12 Ciri Pemimpin Yang Berwibawa Mengikut Al Farabi,

Bapa Psikologi Moden.


01 > Kemampuan Fizikal – Mempunyai tubuh badan yang sempurna, sihat dan bertenaga atau berkemampuan supaya dapat menjalankan tugasnya dengan mudah.

02 > Daya Ingatan Yang Kuat – Baik hafalan (ingatan) mengenai sesuatu yang dia faham, lihat dan juga bukan seorang yang pelupa.

03 > Kecerdasan Akal – Baik kefahamannya dan dapat menggambarkan setiap sesuatu yang dilafazkan atau diucapkan, serta mengetahui apa yang harus dilakukan.

04 > Bijaksana – Bijaksana dan cerdik apabila mendengar sesuatu walaupun dengan reaksi saja, dia boleh memahami sesuatu perkara.

05 > Cintakan Ilmu Pengetahuan – Sangat suka atau berminat pada ilmu pengetahuan, senang menerima ilmu dan tidak berasa penat dalam menimba ilmu pengetahuan.

06 > Luas Pengetahuan Dan Peka Dengan Sesuatu Situasi Semasa – Dapat membuat penjelasan atau huraian yang jelas berhubung dengan sesuatu perkara yang berlaku secara cepat, jelas dan tepat.

07 > Bersederhana – Tidak bersikap buruk, lebih-lebih lagi dalam hal mengenai makan minum dan hubungan kelamin serta menjauhkan diri daripada melakukan sesuatu yang hanya bersifat suka-suka.

08 > Cintakan Kebenaran – Memiliki sifat kebenaran dan mencintai kebenaran dan membenci sifat sebaliknya.

09 > Berhemah Tinggi – Memiliki jiwa yang besar atau berhemah tinggi hingga dapat mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang remeh temeh.

10 > Tidak Membenci Kekayaan Dan Tiada Kepentingan Diri - Tidak berminat untuk mengumpulkan wang ringgit dan segala bentuk kekayaan dunia yang lain.

11 > Adil Kepada Semua Pihak – Bersikap pro keadilan dan anti kezaliman dan penindasan, tidak mudah dipengaruhi oleh perkara yang buruk, sebaliknya mudah diseru kepada kebaikan, keadilan dan seumpamanya.

12 > Berani Dan Berazam Tinggi – Mempunyai keazaman yang kuat dan berani mengahadapi sesuatu perkara yang dirasakan perlu dilakukan dan tidak mudah semangat atau jiwa.

Perkongsian ilmu ini dipetik dari Risalah Masjid yang disusun oleh Tuan Pengerusi Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq, Dato' Hj Nik Farid Bin Mohd Kamil.

Tuesday, October 6, 2009

JAMUAN HARI RAYA AIDILFITRI




JAMUAN HARI RAYA AIDILFITRI

MASJID SAIDINA ABU BAKAR AS SIDDIQ



AKAN DI ADAKAN PADA :

08 OKTOBER 2009


BERMULA PADA
PUKUL
7 MALAM
(SOLAT MAGHRIB DI MASJID)


SEMUA DI JEMPUT HADIR.

Thursday, October 1, 2009

Kakitangan Masjid

KLIK PADA GAMBAR UNTUK PANDANGAN YANG LEBIH JELAS

CARTA ORGANISASI AJK KARIAH

KLIK GAMBAR UNTUK PANDANGAN YANG LEBIH JELAS.

Sejarah Penubuhan


SEJARAH PENUBUHAN MASJID

Usaha untuk mendirikan sebuah masjid di kawasan Bangsar telahpun disuarakan oleh penduduk tempatan pada tahun 1976. Perkara tersebut telah dipersetujui oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dalam mesyuaratnya pada 25hb Julai, 1977. Berikutan dengan itu, satu mesyuarat telah diadakan di Masjid Negara pada 27hb November, 1977 di antara penduduk tempatan dengan YB Dato’ Othman bin Abdullah, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada ketika itu. Hasil dari perjumpaan tersebut sebuah Jawatankuasa Pembinaan Masjid Bangsar telah dilantik bagi mengendalikan pembinaan masjid ini.

Jawatankuasa Pembinaan Masjid Bangsar telah melantik Jawatankuasa Kecil untuk merancang dan menguruskan pembinaan bangunan masjid. Mereka terdiri daripada pakar-pakar perunding yang tinggal di kawasan Bangsar. Hasil daripada usaha mereka, satu reka bentuk masjid telah dipersetujui oleh pihak yang berkenaan sebagaimana pelan yang telah diluluskan.

Untuk membiayai pembinaan bangunan masjid dan peralatannya maka Jawatankausa telah melancarkan usaha memungut derma secara besar-besaran daripada Islam di kawasan Bangsar khasnya dan Malaysia amnya. Sebanyak RM700,000 telah dapat dikumpul dan wang tersebut telah diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Memandangkan jumlah derma jauh daripada mencukupi, projek ini telah diserahkan kepada JAWI yang telah menaiktarafkan projek ini dan memasukkannya sebagai salah satu projeknya dalam Rancangan Malaysia Ketiga.

Pada 18hb Julai 1980, pihak kontraktor telah menerima menyerahan tapak. Majlis penentuan arah Kiblat telah dilakukan pada 24hb Ogos, 1980 dan disahkan oleh S.S. Dato’Sheikh Abdul Mohsein bin Hj Salleh, Mufti Wilayah Persekutuan.

Pada 23hb November, 1980, upacara perletakan batu asas masjid telah disempurnakan oleh YB Dato’ Amar Hj Abdul Taib bin Mahmud, Menteri Wilayah Persekutuan pada ketika itu. Bangunan masjid ini telah disiapkan pembinaannya pada bulan Mac, 1982 dan diterima dengan rasminya daripada pihak kontraktor oleh Yg B’gia Pemangku Dato’ Bandar Kuala Lumpur yang juga Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan pada 29hb Mac, 1982.

Pada 14 Julai 1982, masjid yang dinamakan Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar telah dirasmikan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong, Sultan Haji Ahmad Shah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar.

Pada 14 Julai 2007, masjid ini telah genap berusia 25 tahun dan satu siri beberapa aktiviti telah dianjurkan dengan jayanya untuk menyambut Perayaan Jubli Perak masjid ini denga kerjasama semua pihak: AJK, anak kariah, kakitangan serta para dermawan. Alhamdulillah.

JAWATANKUASA PEMBINAAN MASJID

Pengerusi: Tuan Hj Mohd Mustafa bin Zain
Timbalan Pengerusi: YB Dato’ Hj Mohd Khalid bin Sahol
Setiausaha: Tn Hj Mohammad bin Nawi
Penolong Setiausaha: En. Wan Yusoff bin Wan Ismail
Bendahari: En. Anuarul Perai
Penolong Bendahari: En. Hashim bin Ismail
Pengerusi Perancangan dan Pembinaan Bangunan:
Tn Hj Nik Farid bin Nik Mohd Kamil
Pengerusi Seksi Memungut Derma:
Tn Hj Nik Musa bin Nik Abdullah
Ketua Penerangan: En. Ismail bin Zainuddin
Naqib: Us. Abdullah bin Idris
Imam: Us. Wan Ismail bin Wan Abdullah

Ahli-ahli:

Yb Datuk Din Merican Al-Haj
Tn Hj Mansor bin Mohd Yusoff
Tn Hj Mohd Zain bin Abd Rashid
En. Kadir bin Bador
En. Mohd Zain bin Kadir
En. Mohd Ariff bin Bador
En. Salam bin Majid
En. Mustapha bin Bahaman
En. Selamat bin Bajuri
Tn Hj Sheikh Abod bin Abdullah
Tn Hj Abdul Rahman bin mat
En. Mohd Nor bin Hj Ahmad
En. Abdul Aziz bin Abdul Ghani
En. Abdul Aziz bin Mohammmad
En. Hamzah bin Dato’ Dr. Mohd Salleh
En. Mohd Dali bin Haji Baba


KONSEP MASJID BANGSAR

Masjid Abu Bakar Assiddiq telah dirancang berpandukan kepada tradisi kegunaan masjid sebagai pusat kemasyarakatan dan juga mengikut prinsip-prinsip Islam.Ianya berfungsi sebagai pusat untuk anak-anak kariah di sekitar kawasan Bangsar yang mempunyai 20,000 orang yang beragama Islam.

Bentuk senibinanya merupakan satu penjelmaan kreatif yang agak moden sesuai dengan zaman, kemudahan teknologi dan peruntukan kewangan. Di samping itu, tema serta ciri-ciri tradisional senibina yang selalu dihubungi dengan bentuk sebuah masjid tidak ketinggalan digabungkan dalam reka bentuknya dan boleh dijadikan sebagai lambang agama sepertimana menurut kefahaman orang ramai. Oleh itu, peruntukan kubah, menara serta gapura-gapura (arches) telah diserapkan untuk mengujudkan satu identiti senibina masjid yang moden tetapi tetap mudah dikenali sebagai sebuah masjid.

Masjid ini dibahagikan kepada tiga aras. Pada Aras Pertama diadakan kemudahan kemasyarakatan serta penyediaan untuk beribadat, antaranya ialah:
¬ Kelas Agama Rakyat untuk kanak-kanak
¬ Tadika
¬ Dewan Syarahan
¬ Bilik pengurusan jenazah
¬ Pejabat Masjid
¬ Bilik Perpustakaan
¬ Kantin dan tempat penyediaan makanan
¬ Tandas dan bilik mandi
¬ Bilik Wuduk

Aras Dua dan Aras Tiga dikhaskan untuk bersembahyang dan beribadat. Pada Aras Dua terletak Dewan Sembahyang Utama yang berpermaidani dengan muatan 1000 orang jemaah serta ruangan tambahan (balkoni berlantai marmar) yang memuatkan 1250 orang jemaah.

Aras Tiga memuatkan ruang sembahyang tambahan. Keseluruhannya, bangunan masjid ini memuatkan 3000 orang jemaah di dalam bangunannya. Bagi menampung jumlah jemaah ketika Sembahyang Jumaat, terdapat dataran di luar bangunan yang boleh memuatkan lebih ramai jemaah.

Keistimewaan masjid ini ialah kubahnya yang besar, berukuran garis pusat 16.6 meter dan ketinggiannya 24 meter dari lantai Dewan Sembahyang Utama.

Bahagian dalam kubah dihiasi dengan motif geometri Islam menggunakan “gypsum plaster” dan bahagian luarnya dilapisi kepingan aluminium berwarna emas yang turut bermotifkan seni Islam. Keseluruhan kubah ini disanjung di pertengahan Dewan Sembahyang Utama oleh satu rangkaian struktur yang menarik.

Ukiran tebuk kayu mengikut motif-motif geometri seni Islam digunakan di dinding-dinding mehrab dan di jendela-jendela. Tidak ketinggalan juga kerusi khatib dihiaskan dengan motif ukiran Islam yang setanding.

Surah Al-Mukminun ayat 1 dan ayat 2 berserta terjemahannya telah diukir atas kayu jelutung yang besar dan dilekatkan di bahagian atas arca mehrab sebagai hiasan. Dinding-dinding bahagian hadapan dewan sembahyang pula dihiasi dengan indah oleh ukiran gergasi keseluruhan Surah Al-Mukminun yang diukir dengan seni khat nasakh oleh pengukir dari Kelantan.

Dewan Sembahyang Utama dihiasi pula dengan empat buah chandelier yang melambang empat mazhab utama dlam Islam. Setiap satu candelier itu mempunyai lima tingkat yang melambangkan rukun Islam dan waktu-waktu sembahyang fardu yang diwajibkan ke atas setiap umat Islam. (chandelier telah turut dipasang, tetapi diturunkan pada tahun 2004 setelah didapati ia berkeadaan berkarat, menjadi tempat burung ciak bertenggek (dan menjatuhkan najis ke atas karpet serta risiko keselamatan kepada jemaah).

Sebuah menara setinggi 43.3 meter menjadikan ia sebuah masjid yang lengkap dengan unsur tradisi. Ia dibina menjulang tinggi dari sebuah kolam hiasan (kini telah ditutup) dan puncak menara ini dihiasi dengan aluminium berwarna emas yang serasi dengan kepingan aluminium di kubah masjid.

Masjid ini mempunyai ruang letak kereta sebanyak 52 buah, sebuah bangunan tandas tambahan di luar bangunan dan tiga unit rumah untuk kakitangan. Masjid ini turut dihiasi dengan berbagai jenis pokok bunga dan pokok kayu yang rendang. Pembinaan masjid ini telah berjaya dilakukan dengan bantuan pakar perunding berikut:

Arkitek : Haj dan rakan-rakan
Jurutera : Hashim dan Neh Sdn Bhd
Juruukur Bahan : Nik Farid dan Loh Sdn Bhd