Photobucket

Tuesday, January 26, 2010

Jangan Sampai HATI MATI..

Doa penerang hati ( klik untuk besarkan gambar)

Hati adalah organ paling utama dalam tubuh manusia dan ia nikmat paling agung diberikan Allah. Hati menjadi tempat Allah membuat penilaian terhadap hamba-Nya. Pada hatilah letaknya niat seseorang.Niat ikhlas itu akan diberi pahala. Hati perlu dijaga dan dipelihara dengan baik agar tidak rosak, sakit, buta, keras dan lebih-lebih lagi tidak mati. Sekiranya berlaku pada hati keadaan seperti ini, kesannya membabitkan seluruh anggota tubuh manusia.

Akibatnya, akan lahir penyakit masyarakat berpunca daripada hati yang sudah rosak itu.Justeru, hati menjadi amanah yang wajib dijaga sebagaimana kita diamanahkan menjaga mata, telinga, mulut, kaki, tangan dan sebagainya daripada berbuat dosa dan maksiat.Hati yang hitam ialah hati yang menjadi gelap kerana bergelumang dengan dosa.

Setiap dosa yang dilakukan tanpa bertaubat akan menyebabkan satu titik hitam pada hati. Itu baru satu dosa. Bayangkan bagaimana kalau 10 dosa? 100 dosa? 1,000 dosa? Alangkah hitam dan kotornya hati ketika itu.Perkara ini jelas digambarkan melalui hadis Rasulullah yang bermaksud:

"Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam,
sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika
dia tidak bertaubat maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh
hatinya menjadi hitam."
(Hadis riwayat Ibn Majah)
Hadis ini selari dengan firman Allah bermaksud:

"Sebenarnya ayat-ayat Kami tidak ada cacatnya, bahkan mata hati mereka sudah
diselaputi kotoran dosa dengan sebab perbuatan kufur dan maksiat yang mereka
kerjakan."
(Surah al-Muthaffifiin, ayat 14)
Hati yang kotor dan hitam akan menjadi keras. Apabila hati keras, kemanisan dan kelazatan beribadat tidak dapat dirasakan. Ia akan menjadi penghalang kepada masuknya nur iman dan ilmu. Belajar sebanyak mana pun ilmu yang bermanfaat atau ilmu yang boleh memandu kita, namun ilmu itu tidak masuk ke dalam hati, kalau pun kita faham, tidak ada daya dan kekuatan untuk mengamalkannya.

Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud:

"Kemudian selepas itu, hati kamu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras
lagi. Pada hal antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir sungai
daripadanya dan ada pula antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata
air daripadanya. Dan ada juga antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada
Allah sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan."
(Surah al-Baqarah ayat 74)
Begitulah Allah mendatangkan contoh dan menerangkan batu yang keras itu pun ada kalanya boleh mengalirkan air dan boleh terpecah kerana amat takutkan Allah. Oleh itu, apakah hati manusia lebih keras daripada batu hingga tidak boleh menerima petunjuk dan hidayah daripada Allah.Perkara paling membimbangkan ialah apabila hati mati akan berlaku kemusnahan amat besar terhadap manusia. Matinya hati adalah bencana dan malapetaka besar yang bakal menghitamkan seluruh kehidupan.

Inilah akibatnya apabila kita lalai dan cuai mengubati dan membersihkan hati. Kegagalan kita menghidupkan hati akan dipertanggungjawabkan Allah pada hari akhirat kelak.Kenapa hati mati? Hati mati disebabkan perkara berikut:

* Hati mati kerana tidak berfungsi mengikut perintah Allah iaitu tidak mengambil iktibar dan pengajaran daripada didikan dan ujian Allah.Allah berfirman bermaksud:

"Maka kecelakaan besarlah bagi orang yang keras membatu hatinya daripada
menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya
adalah dalam kesesatan yang nyata."
(Surah al-Zumar ayat 22)

* Hati juga mati jika tidak diberikan makanan dan santapan rohani dengan sewajarnya. Kalau tubuh badan boleh mati kerana tuannya tidak makan dan tidak minum, begitu juga hati.Apabila ia tidak diberikan santapan dan tidak diubati, ia bukan saja akan sakit dan buta, malah akan mati akhirnya.
Santapan rohani yang dimaksudkan itu ialah zikrullah dan muhasabah diri.Santapan rohani yang dimaksudkan itu ialah zikrullah dan muhasabah diri.Oleh itu, jaga dan peliharalah hati dengan sebaik-baiknya supaya tidak menjadi kotor, hitam, keras, sakit, buta dan mati. Gilap dan bersihkannya dengan cara banyak mengingati Allah (berzikir).Firman Allah bermaksud:

"Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan mengingati Allah.
Ketahuilah! Dengan mengingati Allah itu tenang tenteramlah hati manusia."
(Surah al-Ra'd ayat 28)

Firman-Nya lagi bermaksud:

"Hari yang padanya harta benda dan anak-anak tidak dapat memberikan sebarang
pertolongan, kecuali harta benda dan anak-anak orang yang datang menghadap Allah
dengan hati yang selamat sejahtera daripada syirik dan munafik."
(Surah al-Syura ayat 88-89)

Tanda-tanda hati mati Menurut Syeikh Ibrahim Adham, antara sebab atau tanda-tanda hati mati ialah:

1. Mengaku kenal Allah SWT, tetapi tidak menunaikan hak-hak-Nya.

2. Mengaku cinta kepada Rasulullah s.a.w., tetapi mengabaikan sunnah baginda.

3. Membaca al-Quran, tetapi tidak beramal dengan hukum-hukum di dalamnya.

4. Memakan nikmat-nikmat Allah SWT, tetapi tidak mensyukuri atas pemberian-Nya.

5. Mengaku syaitan itu musuh, tetapi tidak berjuang menentangnya.

6. Mengaku adanya nikmat syurga, tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya.

7. Mengaku adanya seksa neraka, tetapi tidak berusaha untuk menjauhinya.

8. Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa, tetapi masih tidak bersedia untuknya.

9. Menyibukkan diri membuka keaiban orang lain, tetapi lupa akan keaiban diri sendiri.

10. Menghantar dan menguburkan jenazah/mayat saudara se-Islam, tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya.

Semoga dengan panduan yang di sampaikan itu akan dapat kita sama-sama mengambil iktibar semoga segala apa yang kita kerjakan akan diredai Allah SWT.Menurut Sheikh Ibni Athoillah Iskandari dalam kalam hikmahnya yang berikutnya;

Sebahagian daripada tanda mati hati itu ialah jika tidak merasa
dukacita kerana tertinggal sesuatu amal perbuatan kebajikan juga tidak menyesal
jika terjadi berbuat sesuatu pelanggaran dosa.Mati hati itu adalah kerana tiga
perkara iaitu;

* Hubbul dunia (kasihkan dunia)

* Lalai daripada zikirullah
(mengingati Allah)

* Membanyakkan makan dan menjatuhkan anggota badan kepada maksiat kepada Allah.

Hidup hati itu kerana tiga perkara iaitu;

* Zuhud dengan dunia

* Zikrullah

* Bergaul atau berkawan dengan aulia Allah.

Artikel ini dipetik dari www.iluvislam.com

Thursday, January 21, 2010

Istiqamah Dalam Menghambakan Diri

ADAKALANYA fikiran kita rasa berserabut, perasaan kita rasa tidak menentu. Apa yang kita buat rasa tidak kena. Solat dan ibadah tidak dapat dirasa kemanisannya. Seolah-olah ada sesuatu yang perlu kita dapatkan untuk menenangkan fikiran dan hati kita yang berkecamuk.Lihat sahajalah apa yang berlaku di sekeliling kita, pembunuhan di sana-sini.

Pelacuran yang berleluasa. Anak-anak yang derhaka kepada kedua ibu bapa, remaja-remaja yang terjebak dan hanyut dalam gejala sosial, pembuangan bayi yang tidak berdosa menjadi-jadi.Kehormatan umat Islam dipersendakan dan bermacam-macam lagi. Semuanya menyayat hati dan perasaan kita. Itu tidak termasuk tekanan kerja dan pengajian yang terpaksa kita harungi setiap hari.


Jalan meraih ketenangan.

Sesungguhnya Islam itu agama yang sempurna. Ia kaya dengan pelbagai perbendaharaan dan khazanahnya yang indah dan seni. Oleh kerana itu, kita melihat agama Islam itu sentiasa dicemburui dan cuba dinodai kesucian dan ketinggiannya oleh musuh-musuh Islam.Cuma, kita yang tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan segala keistimewaan Islam kerana kita sendiri tidak cukup mengenal agama yang kita warisi.Menjadikan al-Quran sebagai wiridIslam menyarankan beberapa perkara yang baik untuk kita lakukan ketika berhadapan dengan situasi sebegini.

Antaranya, kita digalakkan membaca al-Quran dan menjadikannya sebagai wirid.Hendaklah kita bertafakur tentang kandungan ayat-ayatnya dan mendalami mutiara-mutiara maknanya untuk mengeluarkan daripada perbendaharaan dan permatanya sesuatu yang akan melapangkan dada. Menambahkan lagi keyakinan dalam beragama dan menghadirkan kebesaran pemiliknya iaitu Allah SWT. Di samping itu, janganlah kita mengabaikan adab-adabnya.

Ulama berkata: "Sekiranya kamu melayarkan kapal di dalam lautan ini, kamu akan memperolehi kejayaan dan kerehatan (ketenangan) dalam pelayaran tersebut. Akan datang kepadamu angin kegembiraan dari wangiannya yang suci, dan bauannya yang semerbak bernilai dan mengadap kepadamu kelembutan inayah dengan kesempurnaan pilihan yang disertai dengan ri'ayah pembelaan Allah. Kamu akan ketahui perkara yang belum pernah kamu ketahui dan memahami perkara yang belum pernah kamu fahami."

Maka terhasillah bagimu segala cita-cita dan tercapailah segala keinginan dan kegembiraan. Maka selepas itu berusahalah mengulang-ulang membacanya dan tenggelam di dalam lautan rahsianya. Berwaspadalah daripada meringan-ringankannya dan tergopoh-gapah ketika membacanya."Menyelami kitab-kitab ahli hikmahPara ulama juga menyarankan kita menjadikan bacaan kitab-kitab tasauf sebagai wirid. Hendaklah kita perkemaskan renangan kita di dalamnya. Jadikan ia sebagai sahabat dan teman bermesra pada waktu pagi dan petang, dan pegangan dalam semua keadaan.

Taklifkan diri kita beramal dengan isi kandungannya dan meninggalkan perkara-perkara yang ditegahnya. Insya-Allah, hati kita akan menjadi lembut dan berasa lebih tenang menghadapi apa jua keadaan.Justeru, pada minggu ini kita tinggalkan dahulu tajuk tauhid yang sedang kita bicarakan dan kami ingin membawa saudara merenung satu lagi kalam hikmah yang dipersembahkan oleh Sheikh Ibnu Atoillah al-Sakandari r.a tentang istiqamah dalam perhambaan.Istiqamah dalam perhambaanSebagai manusia kita tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan dosa.

Namun kita tidak sepatutnya dikalahkan oleh kesalahan yang kita lakukan hingga bersikap pesimis dan berprasangka buruk dengan Tuhan. Kita seharusnya ingat bahawa setiap kejadian Allah itu ada hikmahnya.Sheikh Ibnu Atoillah r.a membongkar satu lagi hikmah Allah dalam kalam hikmahnya yang indah yang berbunyi: "Apabila kamu terlanjur melakukan suatu dosa, maka janganlah kamu jadikan ia sebagai sebab kamu patah hati daripada beristiqamah bersama Tuhanmu, kerana kadang kala ia merupakan dosa terakhir yang ditakdirkan ke atas kamu".Kita tidak seharusnya merasa putus asa daripada beristiqamah bersama Allah apabila terlanjur melakukan dosa.

Dengan bersikap sedemikian, hanya akan menjadikan dosa kita lebih besar.Istiqamah bermaksud sama keadaan dalam ubudiah terhadap Tuhan. Dosa tidak menyekat seseorang hamba itu daripada terus istiqamah dalam perhambaannya kerana seseorang hamba itu tidak dapat lari daripada takdir yang telah ditulis baginya.Cuma, perkara yang menghalang seseorang daripada istiqamah ialah jika dia berterusan melakukan dosa tersebut. Malah bertekad untuk mengulanginya.

Menginsafi hakikat ini, maka wajiblah hamba tersebut segera bertaubat kerana berkemungkinan ia adalah dosa terakhir yang ditakdirkan baginya.Kadang kala kesalahan itu juga merupakan suatu rahmat dan peringatan buat kita yang sedang lalai atau leka. Apabila kita terjatuh, maka kita akan lebih berusaha untuk bangun dan maju ke hadapan. Setelah itu, kita dapati ia merupakan dosa terakhir yang ditakdirkan bagi kita.

Perhatikan, telah berapa banyak perkara sebegini terjadi kepada orang yang pernah melakukan dosa besar. Sebelumnya mereka adalah seorang pencuri, tetapi kemudian menjadi orang yang mulia. Di antara mereka ialah tokoh sufi yang terkenal, Ibrahim ibnu Adham.Beliau bertaubat setelah mendengar suatu bisikan ketika sedang berburu.

Setelah itu beliau sering berdoa dengan doanya: "Ya Allah! Pindahkanlah aku daripada kehinaan maksiat kepada kemuliaan ketaatan."Begitu juga Fudhail ibnu 'Iyadh r.a yang asalnya seorang penyamun. Sebelum bertaubat, dia begitu berminat dengan seorang jariah. Pada suatu hari, ketika memanjat dinding rumah jariah itu, dia mendengar suara orang yang sedang mengalunkan ayat 16 surah al-Hadid:

Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyu' hati
mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran
(al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi
seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah
orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan
banyak di antaranya orang-orang yang fasiq-derhaka.

Selepas mendengar ayat itu datang keinsafan di dalam hatinya sehingga hari ini kita mengenalinya sebagai seorang ahli sufi yang terkenal. Justeru, jadikanlah mereka sebagai model yang boleh membuka minda dan hati kita untuk bersangka baik dengan Allah.Banyak ayat dan hadis yang mengingatkan kita tentang keluasan rahmat dan keampunan Allah.

Di antaranya, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui
batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat)!
Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah
mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dialah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani. (al-Zumar: 53)

Allah SWT juga berfirman : Dan tiada sesiapa yang berputus asa dari rahmat
Tuhannya melainkan orang-orang yang sesat. (al-Hijr: 56).

Dalam surah Yusuf, ayat 87, Allah SWT juga berfirman: Sesungguhnya tidak
berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah melainkan kaum yang kafir
.

Sabda Rasulullah SAW: "Setiap anak Adam pasti melakukan kesilapan. Sebaik-baik
orang yang melakukan kesilapan ialah orang yang bertaubat daripada dosanya.
Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi mereka
yang sentiasa mensucikan dirinya".

Maka marilah kita, sebagai hamba-hamba-Nya yang banyak melakukan kesalahan berazam tidak sekali-kali berputus asa daripada berusaha dan kekal beristiqamah pada jalan 'ubudiah walau betapa perit dirasakan melalui jalan yang satu ini.

Tuesday, January 19, 2010

KENANGAN GeN-U 09..

Di bawah ini adalah sebahagian daripada gambar-gambar di sekitar Program Motivasi Generasi Unggul (GeN-U '09), Anjuran Kelab Remaja Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq, Bangsar, Kuala Lumpur. Program ini diadakan di Kem Blueriver, Hulu Langat, Selangor pada 4,5 dan 6 September 2009.

Program ini dirasmikan oleh Ustaz Che Mat Bin Che Deraman (JAWI) dan diserikan dengan kehadiran Dato' Hj Nik Farid Bin Mohd Kamil, (Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid SABA).

InsyaAllah, program sesi ke 2 akan diadakan pada bulan Mac 2010 sempena cuti persekolahan. Ingin mendaftar?...













Tuesday, January 12, 2010

Penggunaan Kalimah ALLAH


SEMINGGU dua ini, negara amnya dan masyarakat Islam khasnya hangat membicarakan tentang penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama selain Islam. Ruangan ini turut terpanggil untuk cuba menjernihkan fahaman dalam isu ini.

Terutama apabila ada juga tokoh dan individu Islam yang mengeluarkan pandangan mempertahankan keputusan mahkamah tinggi baru-baru ini yang membenarkan satu penerbitan Kristian Katholik untuk menggunakan kalimah Allah.

Apabila menimbangkan boleh atau tidak sesuatu itu dilakukan di sisi Islam, kaedah syarak menuntut kita mengenal-pasti hukum asal perkara tersebut serta turut memahami realiti sebenar atau situasi yang melatari sesuatu perbuatan atau isu.

Dalam ruang yang terbatas ini, kami akan membentangkan beberapa hujah di sebalik pandangan yang mengharamkan penggunaan kalimah Allah oleh agama-agama selain Islam.

Di dalam al-Quran sendiri terdapat beberapa ayat yang membawa larangan dan peringatan tentang menyalah-gunakan nama Allah.

Allah SWT berfirman yang maksud-Nya:

Tuhan yang mencipta dan mentadbir langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya; oleh itu, sembahlah engkau akan Dia dan bersabarlah dengan tekun tetap dalam beribadat kepadanya. Adakah engkau mengetahui sesiapa pun yang senama dan sebanding dengan-Nya? (Maryam: 65)

Ayat ini ditafsirkan oleh para ulama dengan beberapa tafsiran:

lDi dalam kitab Tafsir Hadaiq al Rauh wa al Raihan H: 187 ayat ini ditafsirkan dengan maksud: Adakah kamu mengetahui, wahai Muhammad! Bagi Tuhan Yang Maha Suci ada perkongsian pada namaNya (pada menamakan-Nya dengan lafaz al Jalalah atau dengan Tuhan tujuh petala langit dan bumi.

Ayat istifham (soalan) ini didatangkan dengan tujuan ingkar, iaitu maknanya: Sesungguhnya Allah itu tidak ada baginya misal atau bandingan sehingga Dia boleh disekutukan dalam ibadah dan dari sini akan melazimkan nama ini tidak khusus bagi Allah. Apabila ternafinya sekutu bagi Allah, maka layaklah Allah itu di-Esakan dalam ibadah dan dikhususkan baginya.

lPendapat kedua mengatakan maknanya: Adakah kamu mengetahui seseorang yang dinamakan dengan Allah selain Allah. Atau, nama yang lain dari nama yang Allah sendiri namakan bagi diri-Nya.

lPendapat ketiga mengatakan maknanya: Adakah kamu mengetahui seseorang yang layak dengan kesempurnaan nama-nama dan sifat-sifat yang layak bagi Allah.

lPendapat keempat mengatakan maknanya: Adakah kamu mengetahui nama yang lebih agung daripada nama yang unggul ini. Atau, nama-Nya diterbitkan dari sesuatu seperti nama-nama makhluk-Nya.

Sesungguhnya Allah itu tiada satu pun yang menyerupai-Nya. Ia adalah nama yang hanya menunjukkan kepada Zat Tuhan yang tertegak pada-Nya sifat-sifat.

Sama seperti isim alam yang lain yang menunjukkan kepada apa yang dinamakan tanpa diambil daripada mana-mana nama. Ia adalah nama yang diungguli oleh Allah, yang dikhususkan bagi diri-Nya dan disifatkan bagi Zat-Nya.

Ia didahulukan dari nama-nama-Nya yang lain dan nama-nama-Nya yang lain bersandar kepada nama ini dan semua nama yang datang selepasnya adalah sifat bagi-Nya dan bersangkutan dengannya.

Nama-Nama Allah

Nama-nama Allah SWT yang lain disifatkan sebagai nama-nama Allah SWT yang lain dan kebiasaannya hanya dikenali dengan disandarkan kepadanya (Allah).

Oleh itu disebut, ia adalah nama-nama Allah dan tidak disebut ia adalah nama-nama al Sabur, al Ghafur, al Jabbar dan sebagainya.

Demikian juga keIslaman seseorang itu tidak akan sempurna melainkan dengan menyebut nama yang satu ini. Ia tidak menerima sebarang gantian dan tidak disebut nama gantiannya yang lain.
Misalnya dengan mengucapkan dalam syahadah dengan kalimah, "Tiada Tuhan melainkan al Ghaffar, atau al Rahim atau al Jabbar dan sebagainya.

Hanya yang digunakan dan disebut adalah, "Tiada Tuhan melainkan Allah". Inilah juga yang disebut oleh al-Quran dan hadis kerana ia adalah nama yang paling menunjukkan kepada hakikat makna Ilahiyyah dan dikhususkan baginya.

Ia juga adalah nama yang tidak memerlukan kepada nama-nama yang lain untuk diperkenalkan tetapi nama-nama yang lain itu dikenali dengan disandarkan kepadanya.

Perkataan Allah itu sudah mencukupi bagi pertuturan dan zikir (sebutan) tanpa perlu disifatkan dan di takhalluq (disifatkan manusia dengan sifat-Nya).

Allah telah menegaskan di dalam Kitabnya yang mulia: Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-nama-Nya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan.
(al-A'raaf: 180)

Berdasarkan ayat di atas, terdapat beberapa pendapat ulama tentang maksud mulhid:

Berkata Mujahid: Mulhid ialah orang yang menamakan Allah sebagai bapa dan berhala-berhala mereka sebagai tuhan-tuhan dan seumpamanya.

Berkata Ibnu Abbas makna (Yulhidun) ialah mendustai.

Berkata Qatadah: Maknanya mensyirikkan Allah.

Berkata al Khattabi: Salah dalam menamakan Allah dan menyimpang dari nama-Nya yang sebenar adalah Mulhid. (Al Bahr al Muhit fi al Tafsir jld 5 H: 232)

Maksud ayat ini, Allah Yang Maha Suci, bukan yang lain-Nya, mempunyai nama-nama yang sebaik-baiknya dan seagung-agungnya bagi menunjukkan kepada sebaik-baik dan semulia-mulia nama-Nya.

Merujuk kepada ayat-ayat di atas, kita boleh menyimpulkan bahawa nama-nama Allah, apatah lagi kalimah Allah itu sendiri sebagai nama yang khusus bagi Allah SWT bukanlah boleh digunakan sewenang-wenangnya dan tanpa batasan.

Pelbagai hujah lain yang mendokong larangan penggunaan kalimah Allah ini datangnya dari pelbagai sudut termasuk bahasa, falsafah dan seumpamanya.

Oleh kerana kesuntukan ruang, kami mengesyorkan dua tulisan yang memuatkan hujah-hujah ini secara lebih panjang.

Ia boleh didapati dengan mudah di Internet iaitu makalah bertajuk 'Antara Nama dan Hakikat' oleh Md. Asham Ahmad serta makalah 'Hujah Menolak Penggunaan Kalimah Allah oleh Kristian' oleh Mohd. Aizam Mas'od.

'Bermain'

'Bermain' hujah dan dalil berkaitan isu ini sebenarnya bukanlah urusan orang awam dan mereka yang bukan berkeahlian.

Oleh itu kita harus bersyukur kerana sebenarnya sudah ada suatu keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam isu ini yang bertarikh 7 Mei 2008.

Keputusan fatwa ini jelas mengkhususkan penggunaan kalimah Allah bagi orang Islam. Kami dimaklumkan bahawa hanya empat negeri sahaja yang belum mewartakan keputusan fatwa ini sebagai fatwa rasmi negeri.

Perlu juga diingat bahawa terdapat beberapa keputusan Kabinet mengenai larangan yang sama.
Dari segi undang-undang perlembagaan dan sivil pula, Perkara 11(4) telah membolehkan negeri-negeri di Malaysia meluluskan Enakmen Kawalan Pengembangan Agama di kalangan orang Islam.

Undang-undang yang telah diluluskan di 10 negeri ini jelas melarang penggunaan kalimah Allah dan beberapa kalimah lain oleh agama selain Islam.

Kita tidak menafikan bahawa mungkin masih ada perbezaan pandangan di kalangan segelintir para ulama dan ilmuwan Islam tentang hal ini.

Namun bukankah hujah-hujah yang melarangnya seperti yang sebahagiannya kami nukilkan di sini menuntut kita lebih berhati-hati dan berwaspada dalam isu ini?

Apatah lagi jika diinsafi bahawa kita sekarang bukannya membicarakan isu-isu cabangan dalam agama yang lebih rendah kedudukannya.

Isu yang kita bahaskan ini melibatkan adab kita dengan Allah Rabbul Jalil.

Jika kita tidak berhati-hati kita boleh tergelincir hingga berlaku kurang beradab dan hormat kepada Allah, Tuhan sekelian alam.

Rasulullah SAW ada berpesan dalam suatu hadis yang dianggap antara hadis-hadis induk dalam Islam bahawa, Perkara yang Halal itu jelas dan perkara yang haram itu jelas. Dan di antara kedua-duanya ada perkara-perkara yang Syubhah yang tidak diketahui hakikatnya oleh kebanyakan manusia. Dan sesiapa yang menjauhi perkara Syubhah maka dia telah benar-benar menjaga kesucian agamanya dan maruahnya. Seumpama pengembala yang membawa ternaknya ke sempadan kawasan larangan. Sangat dibimbangi akan termasuk ke dalamnya. (riwayat Imam Bukhari dan selainnya serta termasuk dalam himpunan Hadis 40 oleh Imam al-Nawawi)

Lalu kita ingin tanyakan, bukankah dalam isu ini yang melibatkan hak dan adab dengan Allah SWT kita lebih-lebih wajar menjauhi batas-batas syubhat kalaupun ada di kalangan kita tidak meyakini pengharamannya secara pasti?

Berasaskan semangat ini dan berbekalkan fatwa, undang-undang dan keputusan yang sedia ada marilah kita sekalian umat Islam di Malaysia mempersatukan saf dalam mengambil pendirian dalam hal ini.

Maslahah ummah amat jelas memerlukan sikap ini sedangkan maslahah untuk membenarkan penggunaan kalimah Allah bagi agama yang lain dalam konteks Malaysia sangatlah kabur dan rapuh.

Umat Islam yang cintakan kesepaduan dan kekuatan ummah seharusnya mengenepikan perbezaan pandangan yang terlalu akademik dalam isu ini dan mengutamakan perkiraan maslahah ini.

Semoga Allah SWT membuka jalan penyelesaian dan keselamatan bagi kita semua dalam menghadapi persoalan ini. Amin Ya Rabbal 'Alamin.

*artikel ini dipetik daripada utusan online hasil tulisan PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

Wednesday, January 6, 2010

KULIAH MAGHRIB KHAS - ISU PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH OLEH KRISTIAN.

* KLIK PADA IKLAN UNTUK MAKLUMAT YANG LEBIH JELAS

PROFIL PENCERAMAH :

> Bekas Mubaligh Kristian yang telah mengkristiankan beribu orang di Malaysia.

> Selepas beliau memeluk Islam, beliau juga telah berdakwah satu Malaysia dan telah mengislamkan ribuan orang khususnya di Sabah.
> Dilahirkan pada 6 Mac 1968, berasal dari Kota Belud Sabah dan berketurunan suku kaum Kadazan.

> Ayahnya bekas ketua gereja dan beliau sendiri mendapat pendidikan daripada ayahnya dan bersekolah Kristian selama 8 tahun serta dilatih menjadi mubaligh
Kristian.