Photobucket

Thursday, May 20, 2010

KENAPA ADA NERAKA?


Kenapa Tuhan Buat Neraka? Kenapa Tak Buat Syurga Je?”
Ini kisah benar..kisah seorang gadis Melayu, beragama Islam, tapi cetek pengetahuan tentang agama. Ceritanya begini, di sebuah negeri yang  melaksanakan dasar ‘Membangun Bersama Islam’, kerap kali pihak berkuasa tempatan menjalankan pemeriksaan mengejut di premis-premis  perniagaan dan kompleks beli-belah, untuk memastikan para pekerja di premis berkenaan menutup aurat.

Aku tak pasti berapa jumlah denda yang   dikenakan sekiranya didapati melakukan kesalahan, tapi selalunya merekaakan diberi amaran bagi kesalahan pertama, dan didenda jika didapati masih enggan mematuhi garis panduan yang ditetapkan. Lazimnya dalam setiap operasi sebegini, seorang ustaz ditugaskan bersama dengan para pegawai pihak berkuasa tempatan. Tugasnya adalah untuk menyampaikan nasihat secara berhemah, kerana hukuman dan denda semata-mata tidak mampu memberi kesan yang mendalam.

Dalam   satu insiden, ketika operasi yang dijalankan sekitar 2005,  seorang gadis yang bekerja di salah satu lot premis perniagaan di Pasaraya XXX telah didapati melakukan kesalahan tidak menutup aurat.  Maka dia pun kena denda la…setelah surat saman dihulurkan oleh pegawai PBT, ustaz ni pun bagi la nasihat:
“..lepas ni diharap saudari insaf dan dapat mematuhi peraturan..peratura n ni bukan semata-mata peraturan  majlis perbandaran, tapi menutup aurat ni termasuk perintah Allah. Ringkasnya, kalau taat segala perintah-Nya, pasti Dia akan membalas dengan nikmat di syurga..kalau derhaka tak nak patuhi perintah-Nya, takut nanti tak sempat bertaubat, bakal mendapat azab di neraka Allah. Tuhan Maha Penyayang, Dia sendiri tak mahu kita campakkan diri ke dalam neraka…”

Gadis tersebut yang dari awal mendiamkan diri, tiba-tiba membentak:
“Kalau Tuhan tu betul-betul baik, kenapa buat neraka ? Kenapa tak boleh sediakan syurga je? Macam tu ke Tuhan Maha Penyayang?” Mungkin dari tadi dia dah panas telinga, tak tahan dengar nasihat ustaz tu..dah la hati panas kena denda sebab dia tak pakai tudung..

Ustaz tu terkedu sekejap. Bahaya budak ni. Kalau dibiarkan boleh rosak akidah dia. Setelah habis gadis tu membebel, ustaz tu pun jawab:
“Dik, kalau Tuhan tak buat neraka, saya tak jadi   ustaz. Berapa sen sangat gaji saya sekarang. Baik saya jadi tokey judi, atau bapa ayam.. hidup senang, lepas mati pun tak risau sebab gerenti masuk syurga. Mungkin awak ni pun saya boleh culik dan jual jadi pelacur. Kalau awak nak lari, saya bunuh je. Takpe, sebab neraka tak ada. Nanti kita berdua jumpa lagi kat syurga..Kan Tuhan tu baik?”

Gadis tu terkejut. Tergamak seorang ustaz cakap macam tu? Sedang dia terpinga-pinga dengan muka confused, ustaz tu pun jelaskan:
“perkara   macam tadi akan berlaku kalau Tuhan hanya sediakan syurga. Orang baik,orang jahat, semua masuk syurga..maka apa guna jadi orang baik? Jadi   orang jahat lebih seronok. Manusia tak perlu lagi diuji sebab semua orang akan ‘lulus’ percuma. Pembunuh akan jumpa orang yang dibunuh   dalam syurga..perogol akan bertemu lagi dengan mangsa rogol disyurga..lepas tu boleh rogol lagi kalau dia nak..  takde siapa yang terima hukuman. Sebab Tuhan itu ‘baik’. Adakah Tuhan macam ni yang kita nak? Awak rasa, adil ke?”tanya ustaz.

“Ah..mana adil macam tu. Orang jahat takkan la terlepas camtu je..” rungut si gadis.
Ustaz tersenyum dan menyoal lagi:
“Bila Tuhan tak adil, boleh ke dianggap baik?”
Gadis tu terdiam.

Seindah hiasan adalah wanita solehah...
Ustaz mengakhiri kata-katanya:
“Adik, saya bagi nasihat ni kerana kasih sesama umat Islam. Allah itu Maha Penyayang, tapi Dia juga Maha Adil. Sebab tu neraka perlu wujud. Untuk menghukum hamba-hamba- Nya yang derhaka, yang menzalimi diri sendiri dan juga orang lain. Saya rasa awak dah faham sekarang. Kita sedang diuji kat atas dunia ni. Jasad kita bahkan segala-galanya milik Allah, maka bukan HAK kita untuk berpakaian sesuka hati kita. Ingatlah; semuanya dipinjamkan oleh-Nya, sebagai amanah dan ujian..semoga kita dapat bersabar dalam mentaati segala perintah-Nya, untuk kebaikan diri kita juga. Assalamu’alaikum.”

Wednesday, May 19, 2010

Ziarah Dari MONT KIARA INTERNATIONAL SCHOOL.

05 Jamadilakhir 1431 bersamaan 19 Mei 2010 - Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq, Bangsar (MSABA) sekali lagi menerima kunjungan ziarah dari sebuah sekolah terkemuka di Kuala Lumpur iaitu Mont Kiara International School. Kunjungan ziarah tersebut telah dihadiri seramai lebih 60 orang peserta dan 4 orang guru pengiring.

Pihak masjid telah memberi sedikit penerangan berkenaan perjalanan operasi MSABA di Dewan Syarahan MSABA. Turut diselitkan sedikit tazkirah tentang agama Islam. Penerangan telah diberikan oleh Ustaz Khairuddin Malik (Pentadbir MSABA). Para peserta juga dibawa melawat sekeliling MSABA.

Majlis ziarah tersebut berakhir dengan minum pagi. 


Monday, May 17, 2010

GAMBAR MENARIK HARI KELUARGA MSABA.

23&24 Jamadil Awal 1431 bersamaan 08&09 Mei 2010 - Kelab Kakitangan Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq, Bangsar (MSABA) telah menganjurkan Hari Keluarga MSABA 2010 di Pengkalan Balak, Melaka. Hari Keluarga yang berlangsung selama dua hari satu malam itu berlangsung meriah dan penuh dengan rasa ukhwah sesama ahli keluarga. 


Seramai 15 keluarga kakitangan MSABA yang terlibat dan pelbagai aktiviti ukhwah telah dijalankan seperti permainan belon cinta, make up kasih sayang, bowling kelapa dan banyak lagi. Turut diadakan program BBQ pada malam terakhir program. Kerjasama daripada peserta program amat baik dan insyaAllah program seperti ini akan diadakan lagi pada tahun berikutnya. Disertakan gambar-gambar menarik untuk tatapan anda.



Friday, May 7, 2010

ZIARAH MAHABBAH DARI MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN


22 Jamadilawal 1431 bersamaan 07 Mei 2010- Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq, Bangsar (MSABA) telah dikunjungi oleh Biro Agama UMNO Lembah Pantai. Turut hadir ialah Pengerusi UMNO kawasan Lembah Pantai yang juga merupakan Menteri Wilayah Persekutuan, YM Dato' Raja Nong Chik Bin Dato' Raja Zainal Abidin. Kunjungan yang lebih kepada ziarah mahabbah itu turut disertai seramai lebih 10 orang AJK Biro Agama UMNO.


YM Dato' Raja Nong Chik Bin Dato' Raja Zainal Abidin dalam ucapannya menyeru kepada semua Imam/Jawatankuasa Masjid untuk lebih proaktif dalam dakwah lebih-lebih lagi pada masa ini orang melayu yang beragama Islam semakin di ambang perpecahan. Jadikan perpaduan sebagai teras dakwah.


Majlis tersebut berakhir dengan jamuan makan tengahari.

Thursday, May 6, 2010

HARI KELUARGA KAKITANGAN MASJID SAIDINA ABU BAKAR AS SIDDIQ, BANGSAR, KUALA LUMPUR.


INSYALLAH AKAN DIADAKAN PADA TARIKH YANG TERDAPAT PADA BANNER DI ATAS.. NANTIKAN BERITA DAN GAMBAR-GAMBAR MENARIK YANG AKAN DIKONGSIKAN DENGAN ANDA..!

KURSUS PENINGKATAN IMAM DAN BILAL



17 Jamadilawal 1431 bersamaan 02 Mei 2010 - Biro Dakwah Dan Ibadah, Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq, Bangsar (MSABA) telah menganjurkan Kursus Peningkatan Kualiti Imam / Bilal untuk para imam dan bilal surau-surau dibawah naungan pentadbiran MSABA.

Sejumlah 9 surau yang terlibat dan melibatkan penyertaan hampir 50 orang Imam, Bilal serta AJK-AJK surau yang berminat. Kursus setengah hari itu diisi dengan pembentangan kertas kerja yang bertajuk Dakwah Dan Masyarakat oleh Ustaz Haji Hazman Hashim (Ketua Imam MSABA) dan disusuli dengan bengkel tahsin kualiti Imam dan Bilal yang dibuat secara halaqah.

Perasmian penutup kursus tersebut telah dibuat oleh Ustaz Hazaruddin Bin Baharuddin (Penyelaras Zon 6) yang mewakili JAWI dan beliau telah mencadangkan supaya pihak MSABA mengadakan lagi kursus seperti ini dan pihak Puzat Zon 6 sudi untuk bekerjasama dari sudut kewangan. Pengumuman tersebut amat menggembirakan pihak MSABA dan insyaALLAH, kursus seperti ini akan dianjurkan lagi.

CERMAH KHAS HARI PEKERJA

14 JamadilAwal 1431 bersamaan 29 April 2010- Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq,Bangsar (MSABA) telah menganjurkan ceramah khas sempena Hari Pekerja. Ceramah yang diadakan selepas solat Maghrib di dewan solat MSABA itu telah mengundang seorang penceramah yang juga merupakan seorang pendakwah bebas iaitu Ustaz Heryanto Rizal. Ustaz Heryanto dalam ceramahnya menekankan soal ibadat makhluk dengan khaliq.


Beliau juga mengingatkan para jemaah supaya beramal dengan sesuatu amalan dengan betul kaedahnya dan beliau memberikan contoh seperti menyangkut tasbih di kereta. Walaupun tasbih tersangkut di kereta, namun bila kita terperangkap dalam kesesakan jalanraya, tasbih itu langsung tidak dipandang tetapi sumpah seranah pula yang keluar dari mulut kita. Sepatutnya kalimah zikir yang kita kena amalkan bukan sumpah seranah yang boleh membawa kepada dosa.

Majlis yang dihadiri seramai lebih 100 orang jemaah itu telah diakhiri dengan jamuan makan malam istimewa iaitu Nasi Beriyani Arab (Nasi Mandi) berlaukkan ayam dan kambing.